Sunday, February 10, 2008

majlis Hi Tea Bersama Pimpinan di Paya Jaras Meriah

10 Feb 08 Majlis Hi Tea Bersama Pimpinan telah diadakan di Perkarangan PASTI Kg Merbau Sempak, Sg Buloh. Program tersebut adalah anjuran bersama MTD Paya Jaras dan Halwa MTD Paya Jaras. Tetamu khas ialah Timbalan Presiden PAS Ust Nasharuddin Mat Isa, Ust Abd Ghani Samsudin AJK PAS Pusat, Ustzh Nuridah Salleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, En Sivarasa Naib Presiden PKR, En Selva Mosa Pengerusi Kelab Penyokong PAS Hulu Selangor.

Di antara objektif utama MTD Paya Jaras mengadakan program tersebut ialah bagi mengumpul dana pilihanraya bagi menghadapi PRU 12 ini, di samping dapat menyampaikan isu-isu terkini kepada pengundi, penyokong dan ahli daripada pimpinan.

Apa yang dapat dikongsikan di sini ialah perjalanan hari-hari sebelum berlangsungnya program tersebut. Halwa telah diberi amanah oleh pihak MTD Paya Jaras untuk menubuhkan AJK 'adhock' bagi merancang program tersebut. Mesyuarat telah diadakan sebanyak empat kali. Kerisauan hati takut program yang bakal diadakan kurang lancar atau tidak berjaya, maklumlah tetamu yang akan hadir program tersebut adalah di antara pimpinan tertinggi dan hebat-hebat belaka. Perbincangan berjalan baik dan pembahagian tugas teratur dan lancar.

Biasanya kalau majlis hi tea perkara utama yang difokuskan ialah menu. Biasalah kalau bab jamuan dan makan ni akan diserahkan kepada muslimat. Sebagai petugas kami akur tentang perkara ni dan kami tetap akan laksanakan dengan baik. Empat Lima menu yang telah dibincangkan dan dipersetujui. Banyak jenisnya..adakah kita mampu nak adakan semua itu sedangkan petugas kita yang tak ramai dan kemungkinan dari segi kewangan dan kemampuan kita juga terhad? Kalau cater kita tak mampu, sedangkan kita perlukan sumber kewangan untuk lebih-lebih lagi disaat hampir PRU. Akhirnya kami mengambil konsep gotong-royong bagi menjimatkan kos.

Alhamdulillah inilah manisnya berada dalam perjuangan Islam (PAS), walaupun ahli yang sedikit beri komitmen tetapi yang sedikit mendapat tarbiyah bersedia untuk infak mengikut kemampuan masing-masing. Boleh dikatakan setiap menu diinfakkan oleh petugas yang sedikit ini. Termasuk air minuman pun diinfakkan oleh seorang ahli muslimat yang OKU cacat penglihatan yang sudi menyediakan air untuk minuman kesemua tetamu program tersebut. Kerja-kerja penyediaan menu telah dimulakan pada 9hb Feb lagi pada malam harinya. Yang bertugas hanya empat orang sahaja, sehinggalah lewat malam.

Keesokan harinya saya pergi menjenguk ke PASTI Kg Merbau Sempak tempat penyediaan menu. Alangkah seronoknya bila melihat sahabat-sahabat muslimat begitu gigih dengan tugas masing-masing. Walaupun mereka nampak agak kaget kerana masa berjalan begitu cepat dan masa sudah agak tengahari tapi bila melihat kehadiran saya mereka nampak semakin yakin untuk menyiapkan menu yang agak payah untuk disediakan seperti roti jala. Alhamdulillah sebelum zohor empat menu dapat kami siapkan bersama.

Sampai masa program nampaknya berjalan lancar, yang menghidang dengan tugas menghidang, yang susun kerusi dengan susun kerusi dan meja. Sehinggalah sampai masa kehadiran tetamu seingga selesai berucap enam orang tetamu, sampai masa kemuncak program ialah aturcara makan.

Rasa puashati melihat tetamu yang menjamu selera dan program yang dirancang berjaya. Hilanglah segala keresahan dan kepenatan. Apa yang kita dapat dari kejayaan program ini ialah keikhlasan dan kesungguhan ahli yang bekerja, bersusah payah tanpa harapkan apa-apa habuan. Inilah kesan ahli sekiranya telah ditarbiah secara berterusan.

Sesungguhnya kejayaan perjuangan Islam bukan bergantung kepada ramainya yang bekerja.
Sebagai pendokong dan pemimpin gerakan Islam, kita tak perlu risau dengan sedikitnya mereka yang hendak bersama-sama dengan kita dalam melaksanakan tugas murni ini. Apa yang penting ialah kesungguhan dan keikhlasan kita melaksanakannya. Dalam Al Quran juga ada menyebut: 'Berapa ramai yang sedikit boleh mengalahkan yang ramai dengan izin Allah.'

Kita juga tidak boleh nafikan peranan muslimat dalam menyumbang kepada kejayaan perjuangan Islam. Janganlah hanya letakkan muslimat sebagai faktor pelengkap sahaja. Kita sedia maklum pengundi wanita lebih dari 50%. Siapa yang akan berjumpa dengan pengundi ini kalau tidak muslimat. Jangan kecilkan peranan muslimat, malah saya memperakui muslimat juga mampu merancang dan mentadbir hatta muslimat boleh jadi calon. Kenapa dengar suara-suara sumbang yang tidak setuju dengan calon muslimat? Sebagai parti politik Islam sepatutnya kita tunjukkan penghargaan kepada muslimat dalam suasana musuh menuduh kita ketepikan peranan wanita atau muslimat.

Apapun sebagai ahli dan petugas muslimat, tidaklah sampai perkara ini jadi bahan perbalahan, insyaallah setakat ini apa sahaja tugas yang diarahkan kepada muslimat, kami cuba laksanakan dengan sebaik-baiknya memandangkan kami merasakan semua kita penting untuk menjayakan misi jamaah kita, kita semua sebagai pelengkap antara satu sama lain.

Apa yang kami harapkan janganlah terlalu kecilkan usaha dan peranan muslimat. Sekiranya jadi calon muslimat pun, kita akan perjuangkan dan membela hak-hak wanita yang mana hari ini wanita menjadi alat dagangan dan bahan pameran di bawah pemerintahan UMNO/BN. Memandangkan juga wanita sebagai ibu dan melahirkan generasi.

Kesimpulan yang kita boleh ambil dari pengalaman yang sedikit ini, pertama: kejayaan sesuatu misi itu tidak semesti ramai, yang sedikit dan berkualiti lebih baik. Kedua: Pentingnya peranan tarbiyah bagi menggerakkan ahli dan petugas yang mana melalui tarbiyah yang berterusan melahirkan ahli yang ikhlas, bersungguh-sungguh, istiqamah dalam menjayakan misi jamaah walaupun tidak dapat apa-apa habuan mahupun pujian, jauh sekali keluar dalam akhbar harakah sekalipun. Ketiga: Pentingnya peranan muslimat dalam menjayakan misi jamaah, jangan kecilkan usaha muslimat atau jangan jadikan muslimat hanya untuk mengisi ruang-ruang yang tidak lengkap sahaja atau remehkan peranan muslimat dengan hanya beri peranan menyediakan makan sahaja. Kita mesti mengetengahkan muslimat dengan peranan lebih besar dan mencabar lagi bagi menutup segala tanggapan musuh terhadap jamaah kita yang mana menurut mereka telah mengenepikan peranan wanita. Keempat: Kita semua penting sebagai pelengkap antara satu sama lain demi kejayaan dan kemenangan perjuangan suci yang kita dokong ini.

Terima kasih kepada semua yang menjayakan program hi tea kita, terutama kepada Saudara Ibrahim bin Ali Pengarah MTD Paya Jaras yang bersama-sama turun padang lakukan kerja-kerja bersama termasuk memanjat tiang memasang bendera. Inilah pimpinan yang kita mahukan dan mampu jadi contoh kepada orang bawahan. Jangan jadi pemimpin yang tahu arah sahaja. Tidak lupa kepada AJK Cawangan Kg Merbau Sempak, AJK DMPK Subang, Halwa MTD Paya Jaras dan semua pihak yang terlibat menjayakan program kita.

Sesungguhnya kita akan rasa kemanisan dalam perjuangan setelah kita rasa letih, sakit dalam melaksanakan tugas dan amanah dan itulah sbenarnya nilai dan harga syurga iaitu dengan menghadapi ujian dan susah payah dalam melaksanakan amanah Allah ini.

Moga Allah kurniakan kemenangan kepada kita dan merahmati serta meredhai kita semua.

Allahu Akbar

Ustazah Hjh Mariam Abdul Rashid

mujahidah_61@yahoo.com

No comments: