Friday, February 15, 2008

TEMPOH KEMPEN HANYA 13 HARI SAHAJA : ADAKAH MENCUKUPI?

Pada 14 Feb 08 di Putrajaya, Pengerusi SPR telah mengumumkan tarikh penamaan calon adalah 24 Feb 08 dan tarikh pembuangan undi adalah pada 8 Mac 08. Jadi antara tarikh penamaan calon dan tarikh pembuangan undi adalah tempoh berkempen yang berjumlah tiga belas hari sahaja.

Menurut kenyataan Tan Sri Rashid dalam sidang akhbar bahawa tempoh tiga belas hari adalah mencukupi untuk parti-parti politik berkempen bagi pihak parti masing-masing.

Menurut kenyataan Tan Sri Muhyidin Yasin bahawa tempoh tersebut adalah suatu tempoh yang cukup lama memandangkan tempoh tersebut adalah tempoh di mana mood ahli UMNO/BN sedang panas dengan semangat pilihanraya. Jika tempoh kempen lebih panjang dari itu bimbang mood ahli akan menurun semula menyebabkan terjejas gerakerja pilihanraya mereka.

UMNO/BN DAH LAMA BERKEMPEN

Beberapa bulan kebelakangan ini kita sendiri melihat bagaimana UMNO/BN telah mula menggunakan secara haram hak rakyat iaitu saluran media untuk berkempen. Sebagai rakyat Malaysia kita mestilah peka dan celik minda untuk menilai keadaan yang berlaku ini. RTM khususnya adalah salah satu unit dari Jabatan Penyiaran di bawah Kementerian Penerangan. Sudah tentu segala peruntukan kewangan bagi urusan penyiaran adalah daripada peruntukan kewangan Kementerian Penerangan di bawah Kerajaan Pusat.
Bermakna UMNO/BN telah menyalahgunakan dan memperalatkan media milik rakyat Malaysia untuk berkempen bagi pihak mereka sebelum pembubaran parlimen lagi.

Setiap hari ada saja visual 'psyco war' yang mereka tayangkan untuk mengelabui pandangan rakyat dengan gambar-gambar demonstrasi, peperangan di Palestin, tak kurang juga ruang untuk tayangan dokumentari kununnya jasa dan bakti UMNO/BN kepada rakyat dalam semua bahasa sebelum berakhir berita perdana setiap bahasa.

Kenapa UMNO/BN yang berkempen di televisyen saban hari tidak perlu permit polis? UMNO dan BN juga hanyalah parti politik seperti PAS, PKR dan DAP juga. Sedangkan dalam tempoh 13 hari ini parti-parti PAS, PKR dan DAP (saya tidak akan sebut pembangkang) yang hendak berkempen mesti memohon permit menurut kenyataan KPN baru-baru ini. Inilah satu sikap ' double standard' dan 'bias'nya Jabatan Polis terhadap parti politik selain dari UMNO/BN. Jelas ketidakadilan berlaku di situ. Parti BA dan DAP juga adalah rakyat Malaysia yang merdeka yang mesti diberi ruang yang bebas dan luas untuk menyuarakan pandangan dan menegur parti UMNO/BN serta mesti diberi kebebasan untuk menyampaikan mesej dan tawaran-tawaran mereka kepada rakyat Malaysia sekiranya diberi mandat memerintah.

APA BERLAKU SELEPAS PEMBUBARAN PARLIMEN?

Media terus menerus diperalat oleh parti UMNO/BN untuk melebarluaskan lagi dakyah dan kempen serta pengaruh mereka bagi memenangi hati rakyat Malaysia dengan hasrat mengekalkan kuasa mereka selepas PRU 12 ini. Yang paling malang pembaca berita masih menyebut 'kerajaan', menteri-menteri yang berkempen dengan jawatan menterinya temasuk PM dan TPM. Kita mesti sedar bahawa sekarang BN bukan kerajaan. Setelah pembubaran parlimen kedudukan mereka adalah seperti parti-parti politik lain.

Jabatan Penyiaran mestilah muhasabah dan fikir-fikirkan apakah tindakan sebahagian besar dari kakitangan mereka termasuk wartawan wajar atau tidak? Untuk siapa sebenarnya mereka berkhidmat? Gaji yang mereka perolehi adalah dari wang rakyat Malaysia. Bukan parti BN yang membayar gaji mereka. Bagi kakitangan yang beragama Islam awas, bagaimanakah kedudukan gaji mereka semua dari sudut hukum Islam? Kakitangan penyiaran bukan Staff kepada UMNO/BN sebaliknya mereka berkhidmat untuk rakyat Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia saya tidak akan meredhakan hak saya disalah guna untuk kempen BN khususnya Jabatan Penyiaran.

SEBENARNYA UMNO/BN LEMAH

Kita semua yakin dan pasti sekiranya tidak ada media khususnya RTM yang mendokong UMNO/BN untuk berkempen bagi pihak mereka, juga sekiranya tidak ada Jabatan Polis yang 'back up' mereka dengan menghalang parti BA dan parti lain menegur dan mendedahkan penyelewangan mereka, sekiranya tidak ada jabatan-jabatan kerajaan yang lain yang bekerjasama dengan mereka seperti KEMAS dan lain-lain, sudah tentu UMNO/BN akan nazak, yangmana sebenarnya mereka tidak kuat mana pun melainkan lemah-lemah selemah-lemahnya.

RAKYAT PERLU DISEDARKAN

Selama ini sememangnya sebahagian besar rakyat Malaysia tidak ambil tahu tentang hal dan situasi ini. Sebagai ahli parti 'waiting government'/kerajaan menanti, kita mesti sedarkan rakyat tentang perkara ini. Isu ini bukan isu kecil dan remeh tetapi isu ini adalah isu besar dan sangat penting untuk kita sampaikan kepada rakyat. Isu ini adalah di antara isu besar penyelewengan yang telah dilakukan oleh UMNO/BN.

JELAS KETIDAKADILAN BERLAKU

Manakala parti PAS, PKR dan DAP hanya boleh berkempen untuk 13 hari sahaja. Itupun perlu memohon permit dari Polis. Dimanakah letaknya sifat amanah Polis yang mempamerkan slogan mereka 'BERSIH, CEKAP AMANAH'? Parti BA dan DAP tidak dilayan seperti rakyat Malaysia yang merdeka dan tidak dilayan secara adil. Ruang untuk BA dan DAP begitu disempitkan untuk berkempen menjelang PRU 12 ini. Sudah tentu tempoh 13 hari tidak mencukupi untuk BA dan DAP untuk mengatur aktiviti penerangan dan berkempen dan menemui pengundi. Jelas ketidakadilan berlaku.

KESIMPULAN

Sekiranya Demokrasi benar-benar wujud di Malaysia, keadaan ini tidak akan berlaku. Yang pastinya Demokrasi telah lama mati di Malaysia lebih-lebih lagi ianya bermula dari Regim Mahathir lagi dan semakin parah pada zaman Regim Paklah Hadhari.

Pastikan BA diberi mandat oleh rakyat memerintah selepas PRU 12 ini dan kita akan kembalikan semula hak rakyat Malaysia yang telah dirompak oleh UMNO/BN selama 50 tahun lebih dan kita akan menyuburkan kembali demokrasi di negara Malaysia yang tercinta ini serta kita akan pastikan sinar Islam akan menyerlah dan agama Allah didaulatkan.

Wallahu A'lam

Mujahidah61

No comments: